Sehubungan itu tegas Rafizi, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu mengambil tindakan itu dan ia menjadi keutamaan demi kepentingan rakyat berbanding keputusan Shahrizat mengambil cuti tiga minggu.
"Bagi saya, sebagaimana kami telah katakan dari dahulu lagi, kami konsisten dengan pendirian bahawa kerajaan harus membekukan aset NFC sementera siasatan dijalankan, harus menghentikan operasi NFC dan menghentikan sebarang bentuk bayaran dan menghalang NFC daripada membuat sebarang keputusan-keputusan penting.
"Soal Datuk Seri Shahrizat mengambil cuti selama tiga minggu bagi membolehkan siastaan dijalankan, ia adalah perkara kedua, bukan keputusan signfikan," kata beliau kepada Sinar Harian Online hari ini.
Kata beliau, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan membekukan dana yang disalurkan sebab ia membabitkan wang rakyat dan kepentingan nasional.
Semalam, Shahrizat mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai hari ini daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ketua Wanita Umno itu berkata, beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri.
Dalam kenyataannya Shahrizat berkata: "Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai NFC di mana suami saya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif."
NFC ialah projek Lembah Daging di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.
Masalah berkenaan projek itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan akhir tahun lalu.
Ekoran laporan itu, kepimpinan PKR dalam pendedahan bersiri sejak November lalu mendakwa wujud unsur salah guna dana RM250 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada NFC.
Beberapa pemimpin PKR turut meminta Shahrizat memikul tanggungjawab selaku anggota Kabinet dan melepaskan jawatannya.
Akhir November lalu, Shahrizat menyifatkan rakan sejawatannya dari PKR bersikap biadap kerana mendesak beliau untuk meletakkan jawatan.
"Saya mencabar Ketua Wanita PKR supaya mendesak Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk meletakkan jawatan kerana suaminya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika ini berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno.
Mengulas lanjut perkembangan terbaru ini, Rafizi berkata, meskipun keputusan Shahrizat pergi bercuti merupakan isu kedua, beliau melihat sudah ada kemajuan di pihak Najib sendiri.
Kata beliau, Najib yang sebelum ini kelihatan tidak bertindak dalam kontroversi, "nampaknya sudah mula bertindak."
"Saya nampak Datuk Seri Najib buat kali pertama kali sudah mula bertindak, beliau mengambil tindakan ekoran tekanan publik... saya lihat ini satu perkembangan," kata beliau lagi sambil menambah Perdana Menteri perlu tampil bercampur tangan dalam kontroversi ini.
sumber : http://www.sinarharian.com.my