Hassan Ali
SHAH ALAM – Tan Sri Harussani Zakaria, antara personaliti yang cuba mewujudkan kerjasama politik antara Pas dan Umno selepas pilihan raya umum 2008, kesal kerana Datuk Dr Hasan Ali yang memperjuangkan Islam dibuang parti.
Menurut Mufti Perak itu, sebagai pejuang Islam yang sejati, Hasan tidak sepatutnya berputus asa, sebaliknya perlu meneruskan perjuangannya.

“Ini adalah risiko yang perlu dihadapi oleh pendakwah Islam dalam menyebarkan Islam.

“Sejarah dunia telah membuktikan bahawa orang kafir memang tidak pernah suka dan setuju dengan Islam, begitu juga dengan orang munafik.

"Jadi mengapa orang Islam sendiri perlu ikut kata mereka,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas tentang pengguguran Hasan sebagai Exco Selangor dan tindakan Pas memecat Hasan dari parti itu, Harussani bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Selepas pilihan raya umum 2008, Harussani dilaporkan menggerakkan usaha mengadakan perundingan dengan kepimpinan Pas dan Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan khususnya di Perak dan Selangor.

Kerjasaman Umno-Pas yang dicadangkan Harussani itu berteraskan Melayu dan Islam.

Hasan dipecat oleh Pas Ahad lalu atas alasan melanggar kepentingan parti.
sumber:http://www.sinarharian.com.my